SELAMAT DATANG. KUNJUNGAN ANDA AMAT DIALU-ALUKAN. TERIMA KASIH. TARIKH KEMAS KINI: 06/04/2012

Isnin, 6 Februari 2012

SEJARAH SMKSO

PENDAHULUAN

SULTAN OMAR pada nama SMK Sultan Omar ialah Sultan Umar, iaitu sultan kesembilan negeri Terengganu. Baginda menaiki takhta dengan gelaran “Baginda Umar” pada tahun 1839 hingga 1875, menggantikan Sultan Muhammad I. Sultan ini digambarkan berbadan besar, berambut ikal, berkulit putih, tinggi, kuat dan sasa, berhidung mancung, dan matanya tajam. Baginda selalu bertanjak dan selalu membawa tongkat sepanjang enam kaki. Tongkat itu sebenarnya sebatang meriam besi kecil (lela).
 
Baginda terlibat dalam perang saudara di Pahang dengan membantu Wan Ahmad dan memberikan perlindungan kepada Sultan Mahmud di Riau. Baginda dikatakan pernah berada di Dungun buat seketika. Kaitan baginda dengan Dungun itulah kemungkinan besarnya menyebabkan nama baginda diabadikan untuk sekolah terulung di Dungun ini.


MUNCULNYA SMK SULTAN OMAR

SMK Sultan Omar berasal daripada sekolah rendah yang dikenali sebagai Dungun English School (DES). Sekolah yang mula beroperasi pada tahun 1955 ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
.
Kewujudan SMK Sultan Omar bermula pada tahun 1959 dengan bermulanya sebuah kelas tingkatan satu. Kelas ini diisi oleh 35 orang murid DES yang lulus Malayan Secondary School Entrance Examination pada tahun sebelumnya. Oleh itu, tingkatan satu ini merupakan DES peringkat menengah, yang masih dalam satu pentadbiran dengan DES peringkat rendah. Guru besarnya pada masa itu ialah Encik Abdul Manap bin Said.


PERKEMBANGAN DES MENENGAH

Kumpulan pelajar perintis DES menengah itu mengambil peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun 1961. Daripada 35 orang calon itu, 19 orang sahaja yang layak melanjutkan pelajaran di tingkatan empat pada tahun 1962. Pada masa itu guru besarnya ialah Encik M.F. Kularatnam.
.
Pada bulan Januari 1963, DES menengah diasingkan pentadbiran daripada DES rendah. Dengan memperoleh pentadbiran sendiri, DES menengah dikenali dengan nama Dungun English Secondary School (DESS). Guru besar pertama DESS ialah Encik Lim Teh Eng, lulusan Universiti Malaya Singapura. Pada tahun yang sama (1963), pelajar perintis DESS telah menduduki peperiksaan Over Seas Certificate (OCS) dan Federal Malayan Certificate (FMC). Ketika DESS diketuai oleh Encik Jamaluddin bin Ali, sekolah ini dibuka dengan rasminya oleh Menteri Pelajaran, Encik Mohd Khir bin Johari pada 25 Jun 1968.
.
Pada tahun 1975, selaras dengan perkembangan sistem pelajaran kebangsaan, sekolah menengah Inggeris ini ditukar menjadi sekolah menengah aliran Melayu. Serentak dengan perubahan itu, namanya ditukar kepada Sekolah Menengah Sultan Omar (SMSO). Ketika itu sekolah ditadbir oleh guru besar kelapan, Encik T.N. Varughese.
.
Pengajian tingkatan enam diperkenalkan pada tahun 1989. Tiga puluh satu orang pelajar perintis mengikuti pengajian tersebut dalam aliran sastera. Ketika itu SMSO ditadbir oleh Tuan Haji Che Daud @ Zakaria bin Yacob.


PERKEMBANGAN PADA ALAF BAHARU

Pentadbiran SMKSO pada alaf baharu dimulai oleh YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam yang berkhidmat mulai 1 Januari 2000. Pada tahun yang sama beliau terus memperkenalkan slogan “SMKSO Cemerlang Pada Alaf Baru”.
.
Pada tahun 2001, sebuah kelas Tingkatan 6 Aliran Sains diperkenalkan. Namun begitu, 17 orang pelajar, iaitu 14 orang pelajar perempuan dan tiga pelajar lelaki sahaja yang bertahan sehingga menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada akhir tahun 2002. Mulai tahun 2003, SMKSO kembali menerima pelajar aliran Kemanusiaan (sastera) sahaja.
.
Tahun 2001 amat bermakna bagi bidang akademik sekolah apabila Ong Yee Tsuey telah memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kejayaan itu lebih bermakna lagi pada tahun 2002 apabila SMKSO diisytiharkan sebagai salah sebuah Sekolah Cemerlang Negeri Terenggganu oleh Pengarah Pelajaran Terengganu, Tuan Haji Razali bin Ismail. Sementara itu, 12 orang lulusan STPM 2001 telah terpilih melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi awam. Ketika itu SMKSO sedang ditadbir oleh Encik Jain bin Awang.
.
Mulai tahun 2003, bermula pula kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Kumpulan perintisnya terdiri daripada 17 orang murid – sembilan orang lelaki dan lapan orang perempuan – yang diketuai oleh Cikgu Nor Suriani binti Abdullah. Pada mulanya kumpulan ini belajar di dalam bilik darjah di blok kilat berhampiran padang, tetapi kemudiannya dipindahkan ke bekas Rumah Pengetua, sebelum berpindah ke bangunan sendiri pada tahun 2007.
.
SMKSO terlibat dalam Pertandingan Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan (3K) pada tahun 2004, dan berjaya menduduki tempat keempat di peringkat kebangsaan.
Pada bulan Januari tahun yang sama, lagu sekolah, “SMKSO Cemerlang” diperkenalkan. Liriknya ditulis oleh Cikgu Suhaimi Mohd Salleh, dengan gubahan muziknya yang berentak rancak dilakukan oleh guru muzik dari sebuah sekolah rendah di Dungun, Cikgu Muhammad bin Tahir.
Sekolah ini membuka dua buah kelas premier mulai tahun 2006 apabila kerajaan negeri Terengganu mengisytiharkannya sebagai Sekolah Premier Terengganu. Kumpulan perintisnya ialah 51 orang pelajar tingkatan satu yang memperoleh 5A dan 4A 1B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2005 tetapi tidak terpilih ke sekolah berasrama penuh.
.
Usia SMKSO genap 50 tahun pada tahun 2009. Oleh itu, Perayaan Jubli Emas diadakan pada 24 hingga 28 Februari 2009. Perayaan dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong pada 26 Februari 2009. Ketika itu SMKSO ditadbir oleh Encik Ab Malik bin Musadali.
.
Pada tahun 2010, Pengetua Kanan, Encik Abdul Rahman bin Husin yang mengambil alih pentadbiran mulai September 2009, memperkenalkan gelaran “DESSO” kepada SMKSO. Penjenaman itu merupakan akronim bagi “Dungun Excellent School and Superb Organization”. Akronim itu juga ditafsirkan sebagai gabungan nama lama dan baharu sekolah ini, iaitu Dungun English School (DES) dan Sultan Omar (SO).
.
Penamaan gelaran itu  mendapat sambutan baik daripada warga sekolah, mungkin kerana sifat ringkasnya dan sedap sebutannya. Ekoran daripada nama itu, mulai 2011, Pengetua Kanan melakukan penjenamaan semula nama tingkatan dengan berdasarkan setiap huruf DESSO dan tambahan huruf ANS.  Selain kelas Premier yang menggunakan huruf P, kelas-kelas lain dinamai Diamond, Emerald, Sapphire, Serpentine, Obsidian, Amethyst, Nephrite, dan Sphene. Kesemua nama tersebut merupakan nama batu galian yang dipilih dengan bantuan Cikgu Rozana binti Mohamed Hasan.

2 ulasan:

  1. weeee sejarahnya sangat menarik sekali dari sejak tahun 1839, saya belum lahir :D

    BalasPadam
  2. saya tengah buat kajian sejarah tentang sekolah nih boleh tak muat kan lagi apa2 info yang lebih terperinci tetang sekolah nih

    BalasPadam